Featured Post Today
print this page
Latest Post
Tampilkan postingan dengan label anwar. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label anwar. Tampilkan semua postingan

Pakatan tidak tolak TPPA perlu penelitian lebih jelas kata Anwar

Oleh Mohd Farhan Darwis June 23, 2013
Pakatan Rakyat (PR) tidak menolak pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akan tetapi  jelasnya, PR perlu meneliti mana-mana peruntukan dalam rundingan perjanjian berkenaan yang tidak merugikan negara.
"Saya tahu ada pandangan keras dalam perkara ini tapi dalam PAS, PKR, DAP, kita pada prinsipnya tidak menolak sebarang bentuk perjanjian, tetapi peruntukan yang membebankan rakyat atau mengalih kuasa negara kepada negara kaya," kata Anwar semasa berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Ampang, di sini.

PR, jelas ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi mengambil sikap lebih terbuka, dan sedar akan kebergantungan Malaysia terhadap Pelaburan Asing Langsung (FDI), dan tindakan menolak pelaksanaan TPPA juga jelasnya bukanlah satu tindakan wajar.

"Kita ambil sikap lebih objektif, ada hujah kuat pasal TPPA ini kerana Malaysia tidak seperti negara lain, banyak bergantung kepada FDI ... menolak sama sekali juga tidak wajar, tetapi membebankan syarikat juga tidak wajar," kata Ketua Umum PKR itu lagi.
"Malaysia perlu berdiri lebih berani kalau meneruskan rundingan ini," tegasnya lagi.

Beliau kemudiannya turut berkata panel PR perlu berbincang dan meneliti keperluan pindaan dalan rundingan, agar perjanjian TPPA itu tidak menjejaskan negara.
"Panel PR perlu bina satu konsensus supaya perlu melihat peruntukan mana perlu diteliti semula supaya perundingan TPPA tidak menjejaskan negara," tambahnya.

PR sebelum ini menggesa agar sebuah Jawatankusa khas Pilihan Parlimen (PSC) diwujudkan untuk perjanjian berkenaan ekoran masih wujud rasa tidak berpuas hati  kerana perjanjian itu jelas mereka tidak tertakluk kepada pengawasan parlimen.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS Dr Dzulkefly Ahmad, bersama dengan Azrul Azwar Tajuddin dari Institut rakyat berkata PSC mengenai TPPA itu perlu ditubuhkan segera.

Mereka turut membangkitkan rangka kerja undang-undang TPPA yang menyeluruh itu boleh menyebabkan undang-undang domestik terpaksa akur dengan meletakkan syarikat-syarikat multinasional di atas jika tidak setara dengan kedudukan kerajaan.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan mereka adalah analisa Kos-Faedah (CBA) pada TPPA, Kawalan Kewangan dan Kebebasan, dan Kos Kesihatan.

Mereka turut menyatakan kebimbangan masa yang semakin suntuk memandangkan pusingan dan rundingan TPPA seterusnya akan diadakan pada Julai 2013 dan pernyataan muktamad dijangka berakhir pada Oktober 2013. - 23 Jun, 2013.The Malaysian Insider
0 komentar

Anwar sedia kerjasama bantu siasatan RCI Sabah Beliau tidak pernah terlibat

  • Malaysiakini   Ogos 15 2012
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuduhan beliau pernah menentang pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pada tahun 1994.

Anwar menyifatkan ia tidak berasas dan dilemparkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang bertindak sebagai "alat rendah dan murah Umno untuk menyerang Pakatan Rakyat".

"Kita tidak boleh pandang berat sangat tuduhan ini. Chua Soi Lek ini hanya alat rendah Umno apabila pimpinan Umno tak bersedia menyerang PAS atau DAP," kata Anwar.

Penubuhan RCI diumumkan perdana menteri 11 Ogos lalu bagi menyiasat masalah pemberian kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah.

Ia telah lama dituntut Pakatan Rakyat yang mahu Projek IC - dakwaan pemberian kewarganegaraan secara tidak sah tetapi sistematik di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri - disiasat secara teliti.

Ia didakwa digerakkan untuk mengubah demoghrafi kaum dan agama bagi mengukuhkan sokongan terhadap BN di Sabah -  satu tuduhan yang telah dinafikan Mahathir.

Menurut Anwar, penubuhan RCI akan membuktikan beliau tidak pernah terlibat dalam pendaftaran kewarganegaraan sewaktu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri.

"Anda boleh sahkan fakta bahawa saya tidak pernah terlibat dalam dalam kes pendaftaran kewarganegaraan, di semenanjung dan Sabah dan Sarawak," katanya tegas.

Malah, beliau turut mencabar tuduhan itu disiasat secara terbuka dan beliau sendiri sedia memberi kerjasama penuh membantu siasatan.

"Sepanjang kuasa saya selaku menteri dan timbalan perdana menteri, tugas ini tidak pernah diserah kepada saya dan saya tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan keputusan ini.

"Saya hanya faham ini di bawah Majlis Keselamatan Negara dan di bawah unit khas di bawah perdana menteri," kata Anwar selepas solat terawih di kediaman menteri besar Selangor malam tadi.

Mengulas tuduhan kumpulan pendesak PERKASA yang beliau merupakan ahli kumpulan Freemason, Anwar menyifatkan ia dibuat presiden PERKASA, Ibrahim Ali bagi mendapatkan dana pilihan raya daripada pihak tertentu.

"Dia ini dua beradik dengan Chua Soi Lek daripada cara dia bercakap. Saya biar dulu dia pukul gendang maklumlah keperluan dana pilihan raya.

"Kalau nyata tohmahan itu fitnah, sebagai seorang Muslim, hentikan fitnah jahat ini dan ikut jalan lebih lurus," kata Anwar.
0 komentar

Anwar ikrar tiada persempadan semula selagi SPR tidak ditukar

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA August 31, 2013
Persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak akan ada tahun ini selagi pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ada kekal.

Demikian ikrar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider.
Tahun ini, sampailah sudah masanya persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dibuat.

 Ini bermakna, bila-bila masa sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membentangkan satu persempadanan pilihan raya baru ke dalam Dewan Rakyat.
Mengikut Perlembagaan, ia perlu dilakukan setiap lapan hingga 10 tahun sekali.
Kali terakhir ia dibuat pada tahun 2003 iaitu menjelang pilihan raya umum 2004.

Kini, masanya sudah melebihi 10 tahun. Oleh itu, SPR mahu tidak mahu terpaksa membuat persempadanan ini.
Baru-baru ini,Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar  berkata kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya akan bermula hujung tahun ini selepas tertangguh pada 2011.
Beliau berkata proses itu akan dilaksana secara berperingkat dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Sepatutnya dibuat pada tahun 2011 tetapi memandangkan pada masa itu kami perlu menghadapi persediaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13), maka kami menangguhkannya hingga PRU13 selesai," katanya melalui ceramah bertajuk Pengalaman SPR dalam mengendalikan persempadanan kawasan pada 2003 dalam seminar selepas pilihan raya anjuran Majlis Peguam Malaysia 8 Jun lepas.
Namun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas menolak SPR dengan kepimpinan yang ada untuk mengendalikan kerja-kerja ini.

"Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk melakukan sesuatu perubahan besar.
"Tidak munasabah dan kita akan tentang keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan ini oleh SPR yang ada," katanya kepada The Malaysian Insider.
Sempadan kawasan pilihan raya adalah perkara yang termaktub di dalam perlembagaan. Untuk mengubah sesuatu perkara dalam Perlembagaan, ia perlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Dengan kedudukan BN yang hanya mempunyai majoriti tipis dalam Dewan Rakyat, amat sukar bagi SPR untuk melakukannya.
Sudah tercatat dalam sejarah pilihan raya di negara ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menang besar setiap kali selepas persempadanan pilihan raya dilakukan.

Yang terakhir adalah persempadanan pilihan raya yang dibuat pada tahun 2003. Ia dibuat selepas PAS menang besar dalam pilihan raya sebelumnya yang diadakan pada tahun 1999 akibat sokongan orang Melayu kepada PAS ekoran kes mata lebam Anwar.
Dalam persempadanan 2003 itu, kawasan pilihan raya di negara ini disusun sedemikian rupa dengan memasukkan orang-orang Cina dan India ke dalam kawasan yang selama ini dikuasai oleh pengundi Melayu.

Antara kesan yang paling ketara adalah kawasan Parlimen Kuala Kedah yang dimenangi Mohamad Sabu pada tahun 1999 dan Pokok Sena di Kedah yang dimenangi Datuk Mahfuz Omar.
Dalam persempadanan ini, negeri-negeri yang mendapat sokongan tinggi Umno mendapat tambahan bilangan kerusi yang sangat tinggi. Antaranya Johor yang menambahkan bilangan kerusi ke-26 kerusi Parlimen.

Hasilnya, pada pilihan raya 2004, BN menang besar. Sebahagian besarnya kerana persempadanan kawasan pilihan raya yang dibuat pada 2003.

Namun ia boleh dibuat ketika itu kerana BN mempunyai kuasa dua pertiga dalam Dewan Rakyat.
Pada tahun 2011, persempadanan tidak dibuat kerana BN tiada kuasa dua pertiga walaupun alasan Wan Ahmad adalah kerana hendak menghadapi pilihan raya.
Alasan ini bercanggah sekali dengan apa yang berlaku pada tahun 2003 apabila persempadanan kawasan pilihan raya dibuat setahun sebelum pilihan raya 2004.

Bagi Anwar, persempadanan ini bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang mesti diselesaikan.
"Soal electoral roll pun tidak berjaya diselesaikan lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu," katanya merujuk kepada daftar pemilih yang dikesan mempunyai pelbagai masalah.
Baru-baru ini, SPR menukar setiausahanya, Datuk Kamarudin Mohd Baria namun bagi Anwar ia bukan jalan penyelesaiannya.

"Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang bersara yang diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang-orang kanan mereka.
"Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno... bagilah. Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini," kata Anwar.

Kepentingan rakyat
Di sebalik faktor ketelusan, faktor kepentingan rakyat juga perlu dikaji dalam persempadanan kawasan pilihan raya ini.
Dengan kuasa yang ada, Pakatan Rakyat (PR) di negeri Selangor misalnya boleh berkata tidak kepada cadangan persempadanan pilihan raya ini kerana mereka mempunyai kuasa dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Namun, jika tidak dilakukan persempadanan ini bermakna, rakyat Selangor yang paling rugi kerana mereka tidak akan diwakili dengan adil. Selangor mempunyai 1,924,281 pemilih berdaftar dalam PRU-13 lalu tetapi bilangan Parlimennya hanya 22 sahaja berbanding Johor yang mempunyai 26 kerusi.

"Di Selangor sekarang, jumlah rakyat bagi setiap Parlimen dan DUN terlalu tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain. Jika kawasan pilihan raya Parlimen atau DUN tidak ditambah di Selangor bermakna, rakyat yang rugi," kata Abdul Shakur Tahir, Setiausaha Pilihan Raya PAS Pusat.
Beliau berkata, Johor misalnya mempunyai banyak kawasan Parlimen berbanding rakyatnya bagi setiap Parlimen. Begitu juga kawasan Putrajaya yang hanya mempunyai 10,000 pengundi tetapi mendapat satu parlimen.

"Hulu Selangor misalnya mempunyai 74,939 pengundi dan Gombak mempunyai 106,747 pengundi.
"Sedangkan Segamat di Johor hanya mempunyai 39,807 pengundi manakala Pagoh hanya mempunyai 40,515 pengundi sahaja. Ini tidak adil kepada pengundi Selangor.
"Oleh itu, sesuatu perlu dibuat untuk mencapai kata sepakat dan hak rakyat diberi," kata Shakur yang sangat berpengalaman dalam kerja-kerja pilihan raya.

Ini bermakna, mahu atau tidak mahu persempadanan kawasan pilihan raya satu keperluan. Menjadi keperluan juga ia dibuat dengan adil dan bukan untuk memenuhi keperluan pribadi pihak-pihak yang berkepentingan.

Dengan suasana yang ada, mahu atau tidak, SPR buat pertama kalinya dalam sejarah perlu mendapat persetujuan PR untuk membuat persempadanan kawasan pilihan raya. Jika tidak, SPR akan gagal dan akan dilihat gagal dalam menjalankan tugasnya. – 31 Ogos, 2013.The Malaysian Insider
0 komentar
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. lentera ilmu - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger